Music

Sunday, 14 December 2014

Tips Memulakan Penghijrahan..

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kalian yang dirahmati Allah. Semoga kalian semua berada di dalam keadaan sihat dan sentiasa berada di dalam pelindungan Allah. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Muhammad s.a.w .

InsyaAllah, hari ini ada sedikit perkongsian tips dan ilmu berkaitan penghijrahan. Tips ini juga adalah atas perkongsian group usrah gethering UM KL saya dan saya applikasikan di dalam blog ini. Moga2 ianya memberi manfaat buat semua. Andai malam ini Malaikat maut datang mengambil nyawa saya. Sekurang2 nya saya sudah menunaikan tanggungjawab saya untuk menyampaikan kepada yang lain dari apa yang saya dapat dan jika ada yang mengamalkan tips ini. Mudah2 an ianya menjadi sedekah jariah buat saya. InsyaAllah!

1. NIAT
Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharap keredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti mendapat pertolongan Allah. Manakala hijrah ke arah kebaikan yang dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemarahan Allah dan tidak kekal lama kebaikannya.

2. TETAPKAN MATLAMAT
Matlamat yang ulung pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Namun yang harus ditelusuri ialah persoalan sejauh mana relevannya matlamat yang ditetapkan. Matlamat yang disasarkan harus realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Contohnya anda ingin berubah daripada seorang yang jahil tentang ilmu agama menjadi sarjana Islam yang hebat dalam masa beberapa minggu. Tentu mustahil bukan? Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda kini konsisten mengikuti kuliah agama di surau dan masjid setiap malam. Itu mungkin hijrah diri terhadap ilmu. Anda meletakkan sasaran bahawa dalam masa 1-2 tahun ini anda dapat memahami konsep asas Islam. Atau dalam masa 2 tahun akan datang anda dapat menguasai hukum tajwid dan dapat membaca ayat-ayat al-Quran dengan baik.

3. BUANG PERSEPSI YANG SALAH
Selama ini anda mungkin mempunyai persepsi yang salah terhadap diri anda dan kehidupan. Anda mungkin mempunyai persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman. Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang jauh-jauh. Ambil sehelai kertas dan tuliskan apakah keinginan anda. Catatkan juga apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi hanya insan terpilih sahaja yang boleh menemui jalan pulang. Mengapa tidak anda?

4. HENTIKAN PERKATAAN NEGATIF
Perhatikan perkataan yang negatif yang sentiasa keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata positif yang keluar daripada orang-orang hebat. Latihlah diri untuk menuturkan kata-kata hebat tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru. Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan. Lafazkanlah kata-kata “aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.

5. BANYAKKAN MEMBACA DAN MENDENGAR KISAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA
Bagi remaja yang ingin bertudung contohnya, bacalah buku-buku di pasaran tentang bagaimana akhirnya wanita- wanita mendapat hidayah untuh tampil bertudung menutup aurat. Banyak bahan bacaan yang mendorong kita untuk berubah. Itulah kuasa hijrah. Dekatilah tokoh-tokoh serta ahli agama yang sentiasa akan memberikan motivasi dan nasihat. Ambillah pengajaran daripada kisah kesedaran insan terpilih tersebut. Ia penting untuk anda mengorak langkah mencerna hijrah diri. Hadirilah ceramah motivasi pengkisahan insan-insan yang berjaya mengubah diri ke arah kebaikan.

6. PEDULIKAN APA KATA ORANG
Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Orang akan melihat sebarang perubahan diri yang dilakukan. Pasti ada yang memuji malah ada yang mengeji. Apa yang penting itulah rencah dan dugaan hidup yang perlu anda lalui. Jangan berkecil hati dan kuatkan semangat. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang iri hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk hijrah diri, tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah dibaling batu dan disakiti oleh golongan kafir. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.

7. BERDOALAH
Allah sesungguhnya telah berfirman:

Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."

(Al-Mu’min 40: 60)

Berdoalah untuk pilihan yang unggul buat kita mengharap pertolongan daripada Allah. Tiada kuasa lain yang mampu untuk membantu keinginan diri untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan..

Fitrah manusia itu tiada yang sempurna kita hamba yang bernama manusia ini lah yang lagi dhaif pendosa tanpa noktah!       

Tapi bila kita ingin kembali padaNYA, kembali lah, Allah azza wa jalla sangat menyukai hambanya yang bertaubat ! Jangan nilai diri orang lain tapi nilai lah diri kita dahulu...jangan dilihat hanya pujian...tapi lihat lah disebalik pujian itu ada ujiannya.. semoga kita semua peroleh hidayah dari Nya..

wallahualam

No comments:

Post a Comment